|
PUSPANITA atau nama
singkatannya Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia telah
dilancarkan dengan rasminya pada 1 Mac 1983 oleh Penaung PUSPANITA yang pertama,
Tun Dr. Siti Hasmah Binti Haji Mohd Ali.
Di peringkat awal
penubuhannya, PUSPANITA melalui pelbagai proses bagi melengkapkannya sebagai
sebuah persatuan yang berdaftar dan diterima oleh semua pihak terutamanya di
peringkat pengurusan atasan dan ahli-ahli. Ahli-ahli Jawatankuasa protem ketika
itu telah berusaha keras membentuk perlembagaan yang mengandungi butir-butir
mengenai pertubuhan tersebut seperti visi, misi, tujuan penubuhan, keanggotaan
serta tanggung-jawab Majlis Tertinggi (MT) dan Jawatankuasa Kerja Tertinggi
(JKT).
Bagi mengukuhkan kedudukan
pertubuhan, Perlembagaan PUSPANITA telah menetapkan bahawa Isteri Perdana
Menteri akan menjadi Penaung, Ketua Setiausaha Negara akan menjadi Penasihat dan
dan isteri Ketua Setiausaha Negara adalah Yang Di Pertua kepada persatuan
ini.
Di samping pembentukan
perlembagaan, PUSPANITA telah berjaya menambahkan keahlian dari tahun ke tahun
dan kini mempunyai lebih daripada 80,000 ahli. Satu lagi kejayaan yang amat
dibanggakan adalah Rumah PUSPANITA di Jalan Hose, Kuala Lumpur dan PUSPANITAPURI
sebagai pusat aktiviti dan mercu tanda kegemilangan. PUSPANITA juga mempunyai
pakaian seragamnya yang tersendiri sebagai lambang penyatuan
ahli-ahli.
Pelbagai program dan
aktiviti telah disusun dan dilaksanakan oleh PUSPANITA untuk mencapai visi dan
misinya. Antaranya adalah Rancangan Lima Tahun PUSPANITA, Tabung PUSPADARA
PUSPANITA dan Tabung Latihan PUSPANITA. Kejayaan PUSPANITA adalah hasil
kebijaksanaan kepimpinan penaung dan penasihatnya. Ini diikuti dengan kerjasama
dan sokongan padu Majlis Tertinggi (MT), Jawatankuasa Kerja Tertinggi (JKT)
serta warga PUSPANITA.
Antara
objektif utama penubuhan PUSPANITA adalah :
1. Adalah untuk merapatkan
perhubungan muhibah dan menyatu-padukan isteri-isteri dan anggota-anggota wanita
Perkhidmatan Awam di semua peringkat perkhidmatan.
2. Adalah untuk
menggalakkan perkembangan pengetahuan kemahiran serta kemajuan diri ahli-ahli
Persatuan menerusi program-program kemajuan, ceramah-ceramah, bengkel-bengkel,
seminar dan kursus.
3. Adalah untuk menggalakkan dan melibatkan ahli-ahli
dalam aktiviti-aktiviti bagi faedah ahli dan keluarga mereka serta
masyarakat.
4. Adalah untuk menganjurkan program-program untuk memungut
derma dan sumbangan bagi aktiviti-aktiviti amal kebajikan.
5. Adalah
untuk mengadakan program-program untuk mengeratkan perhubungan dengan lain-lain
pertubuhan wanita yang berdaftar, demi memupuk semangat persefahaman dan
menambah pengetahuan melalui rancangan-rancangan pembangunan negara khususnya
yang berkaitan dengan kaum wanita di negara ini.
6. Adalah boleh memiliki
tanah, bangunan-bangunan dan aset-aset yang lain sebagaimana yang diperlukan
melalui cara memohon kepada kerajaan, membeli, menyewa dan sebagainya. Mana-mana
cawangan juga boleh memiliki tanah, bangunan dan aset-aset atau sebagainya untuk
kebajikan dan faedah ahli.
7. Adalah untuk menyertai aktiviti perniagaan
dengan syarat semua wang dan keuntungan yang didapati oleh persatuan ini, hasil
dari penyertaannya dalam mana-mana perniagaan, akan digunakan semata-mata untuk
melanjutkan, memajukan dan menjalankan tujuan-tujuan persatuan ini, dan tidak
sebahagian pun daripada wang atau keuntungan atau bonus kepada sebarang ahli
persatuan. Sungguh pun begitu, peruntukan ini tidak menghalang sebarang
pembayaran yang di buat dengan tujuan baik, untuk membayar gaji atau
perbelanjaan atau kedua-duanya kepada sebarang ahli atau pekerja persatuan ini,
dengan syarat mereka telah memberikan perkhidmatan kepada persatuan
ini.
|
LOGO PUSPANITA
HURAIAN :
1. Bulan Bintang melambangkan
negeri-negeri dalam Malaysia di mana ahli-ahli PUSPANITA dapat menyatupadukan
tenaga.
2. Buku melambangkan pengetahuan dan kemahiran yang perlu
dipertingkatkan secara berterusan.
3. Bunga Padi melambangkan perpaduan
di kalangan ahli-ahli wanita berbilang kaum dalam perkhidmatan awam.
4.
Bunga Raya melambangkan peranan persatuan ke arah pencapaian aspirasi dan
matlamat pembangunan negara.
5. P dan Pa lambang kewanitaan.
6.
Warna Emas melambangkan kepentingan kualiti yang unggul sebagai teras
kecemerlangan.
7. Warna Ungu melambangkan kemuliaan sumbangan sukarela
ahli-ahli.
TAFSIRAN NAMA PUSPANITA
Suri bermakna isteri
pegawai dan kakitangan Perkhidmatan Awam di semua peringkat kumpulan
perkhidmatan.
Anggota Wanita bermakna pegawai-pegawai wanita dan
kakitangan wanita Perkhidmatan Awam di semua peringkat kumpulan
perkhidmatan. Perkhidmatan Awam bermakna perkhidmatan Kerajaan di semua
peringkat termasuk badan-badan berkanun.
|
No comments:
Post a Comment